Suara rakyat dalam Belanjawan Pahang 2022

Suara rakyat dalam Belanjawan Pahang 2022

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Rakyat negeri ini digalakkan untuk memberikan cadangan dalam merangka Belanjawan 2022 Negeri Pahang menerusi portal soal selidik Belanjawan 2022 yang dilancarkan kerajaan negeri.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Salleh, berkata: “Melalui portal itu,  rakyat dapat menyampaikan hasrat mereka kepada kerajaan negeri dan kita akan lihat jika ia praktikal, menguntungkan rakyat dan dalam kemampuan kerajaan negeri. Kita akan ikut kehendak rakyat.

“Kita rangka belanjawan negeri pun kerana kita nak kembalikan (keuntungan) kepada rakyat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus Pasukan Elit Penguatkuasaan Kerajaan Pahang di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing, di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, Belanjawan 2022 Negeri Pahang dianggap terbaik kerana buat julung kali membabitkan lebih banyak pihak, termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai daerah dan ketua jabatan.

“Kita telah melaksanakan sesi ‘brainstorming’ dan ia sangat berjaya. Malah, apa yang dikemukakan mereka di luar jangkaan kita.

“Sudah tentu percambahan pemikiran itu sangat baik dan saya yakin kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Saya akan membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Pahang pada sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) pada Disember ini,” katanya.