Sub-pakej 5C, 5D CSR akan dirasmi minggu depan

Sub-pakej 5C, 5D CSR akan dirasmi minggu depan

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

BENTONG: Pembinaan projek Lebuhraya Central Spine Road (CSR) membabitkan laluan sub-pakej 5C iaitu Kampung Asap ke Kampung Sertik dan 5C (Bentong Bypass) sejauh 28.5 kilometer (km) sudah siap dan akan dirasmikan 7 Oktober ini.

Berita baik itu dikongsikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, malam ini.  

Beliau berkata, kedua-dua sub-pakej berkenaan ialah sebahagian daripada keseluruhan projek CSR bebas tol sepanjang 350km antara Kuala Krai, Kelantan hingga ke daerah ini.

“Petang ini, saya membuat tinjauan ke lebuhraya empat lorong dua hala dikenali CSR di kawasan Mempaga, di sini.

“Saya bangga kerana projek bernilai kira-kira RM8.7 bilion ini tercetus dan dilaksanakan sejak Kerajaan Persekutuan di bawah teraju Barisan Nasional (BN) lagi dan dijangka siap sepenuhnya pada  2025 seperti disebut YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 baru-baru ini.

“Insya-Allah, dengan siapnya CSR ini dapat memendekkan masa dan mempercepatkan perjalanan serta memberi keselesaan kepada pengguna dalam kalangan rakyat.

“Selain itu, ia bakal meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan-kawasan berkenaan,” katanya.