JURULATIH hoki AHP-SSP-MSP Thunderbolts, Mohd Sufian Mohamad memuji semangat dan kesungguhan barisan pemainnya pada perlawanan pertama Divisyen 1 Liga Hoki Remaja Kebangsaan (TNBMJHL), di Stadium Wisma Belia, Kuantan, semalam.
Walaupun tewas 3-4, di tangan SSBJ Thunderbolts, kegagalan itu lebih kepada nasib tidak menyebelahi Tok Gajah.
Mohd Sufian berkata, babak pertama permainan menyaksikan pasukannya mendahului lawan 2-0, menerusi jaringan sudut penalti oleh Mohamad Azim Mohd Ahir dan gol padang Muhammad Haikal Ridwan Osman.
Menurutnya, gol ketiga kita hadir pada babak kedua menerusi penalti stroke Wan Muhammad Najmi Ahmad Dzaib selepas pertahanan lawan melakukan kekasaran dalam kotak penalti.
“Saya melihat benteng AHP-SSP-MSP Thunderbolts hilang tumpuan pada babak kedua membolehkan lawan menghasilkan jaringan,” katanya.
Beliau berkata, pemain berusaha sedaya upaya untuk melakar kemenangan di gelanggang sendiri namun impian tidak menjadi kenyataan.
Mohd Sufian berkata, pasukannya akan bertemu Anderson Thunderbolts di Stadium Wisma Belia, Ahad ini. – MOHD IMRAN IZZAD