Sukma A  juara LSTP kali kedua

Sukma A  juara LSTP kali kedua

REGU Sukma A membuktikan kehebatan apabila muncul juara sirkit keempat Liga Sepak Takraw Pahang (LSTP) selepas menewaskan Raub A, 21-18 dan 21-16 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa, Lipis, kelmarin.

Sirkit keempat LSTP bagi merebut piala Ketua UMNO Bahagian Lipis, Dato’ Sri Rahman Mohamad itu disertai 36 pasukan.

Pada saingan separuh akhir, regu Sukma A bimbingan bekas pemain kebangsaan, Iskandar Arshad menewaskan Kuantan A, 21-18  dan 21-17 manakala Raub B menewaskan Kuantan B, 21-14 dan 21-5.

Iskandar yang nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, berkata selepas muncul juara  pada sirkit kedua LSTP di Maran, pemain terus membuktikan kehebatan apabila meraih kejayaan pada sirkit keempat kelmarin yang tidak kurang hebatnya.

“Hasil usaha dan semangat kuat barisan pemain yang turun dengan misi memburu kejayaan kali kedua nyata berbaloi apabila mereka menemui kemenangan pada perlawanan akhir.

“Saya berpuas hati apabila regu Sukma A bangkit pada sirkit kedua dan keempat LSTP seterusnya dinobatkan selaku juara, selepas mempamerkan semangat melawan yang tinggi pada setiap perlawanan.

Menurutnya, beliau berharap pencapaian itu dapat diteruskan pada sirkit akhir merebut Piala Ketua UMNO Bahagian Bera yang juga YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang masih belum diputuskan tarikhnya. – MOHD IMRAN IZZAD