Sukma A  juara sirkit kedua LSTP

Sukma A  juara sirkit kedua LSTP

REGU Sukma A muncul juara sirkit kedua Liga Sepak Takraw Pahang (LSTP) selepas menewaskan Raub A, 21-13 dan 22-20, di Arena YAM Tengku Muda Pahang, Maran, kelmarin.

Pada saingan separuh akhir regu bimbingan bekas pemain kebangsaan, Iskandar Arshad itu menewaskan Jerantut A, 21-18  dan 21-17 manakala Raub B menewaskan Kuantan B, 22-20, 10-21 dan 15-8.

Tempat ketiga berpihak kepada Jerantut A manakala keempat Kuantan C dalam kejohanan yang menyaksikan 36 pasukan bersaing bagi memburu kejuaraan.

Sukma A membawa pulang piala pusingan dan RM1,500 tunai manakala naib johan RM1,000, ketiga RM500 dan keempat RM400.

Bagi Iskandar, kejayaan pada sirkit kedua LSTP hasil usaha dan semangat kuat barisan pemain yang turun dengan misi memburu kejayaan selepas gagal pada sirkit pertama di Cameron Highlands, Januari lalu.

Menurutnya, pada perlawanan akhir kemenangan set pertama agak mudah namun saingan getir berlaku pada set kedua apabila lawan bangkit mempamerkan persembahan bertenaga.

“Saya berpuas hati apabila regu Sukma A bangkit pada sirkit kedua LSTP seterusnya dinobatkan selaku juara, selepas mempamerkan semangat melawan yang tinggi.

“Saya berharap pencapaian kali ini dapat diteruskan pada sirkit akhir merebut Piala Ketua UMNO Bahagian Bera yang juga YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Jun depan,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD