SULAM bakal jadi laluan khas Orang Asli ke menara gading

SULAM bakal jadi laluan khas Orang Asli ke menara gading

BERA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sedang memperhalusi program laluan khas kemasukan anak Orang Asli ke universiti itu yang dijangka dapat dilaksanakan tahun hadapan. 

Laluan khas itu adalah inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Program Perkhidmatan Pengajian Universiti Malaysia Untuk Masyarakat (SULAM). 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua usaha pemerkasaan dan pembelaan masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

“Komitmen kita adalah jelas seperti yang saya umumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan pada pembentangan Belanjawan 2022,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Walkabout Perdana Menteri Bersempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan JAKOA di Padang Sekolah Kebangsaan Bukit Rok, dekat sini, hari ini. 

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid; Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Hasagaya Abdullah. 

Pada majlis sama, JAKOA melalui skim bantuan galakan pendidikan (SBGP) menyerahkan replika cek berjumlah RM90,840 kepada UPNM bagi menampung pengajian empat penuntut Orang Asli yang kini menyambung pelajaran di universiti itu.

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya turut memberi jaminan kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara. 

“Kita juga akan memastikan sasaran menghantar sekurang-kurangnya 10 mahasiswa Orang Asli melanjutkan pengajian ke luar negara melalui (pembiayaan) Majlis Amanah Rakyat (MARA) diteruskan. 

“Sekarang JAKOA di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). Dulu mereka (Kerajaan Pakatan Harapan) letak bawah pejabat Perdana Menteri, di bawah Kementerian Perpaduan.

“Kini kita pindahkan kepada KPLB untuk memudahkan proses (penyaluran) bantuan dan lebih fokus,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE