Sumbangan makanan ceriakan anggota polis ketika PKP 3.0

Sumbangan makanan ceriakan anggota polis ketika PKP 3.0

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Sebagai penghargaan kepada anggota polis yang bertugas di daerah ini, Tanjak Kencana Sdn Bhd tampil menyumbang 150 pek nasi ayam kepada mereka.

  Sumbangan istimewa itu disampaikan Pengurus Ayamas Kuantan, Syahida Mokhtar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, kelmarin.

  Menurut Syahida, sumbangan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap tugas yang digalas anggota polis terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dianggap lebih mencabar.

Pengurus Ayamas Kuantan, Syahida Mokhtar menyampaikan sumbangan 150 pek nasi ayam keluaran Ayamas Kuantan kepada wakil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

  Katanya, pengorbanan anggota polis menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan amat tinggi nilainya dan sebagai penghargaan, pihaknya tampil menghulurkan sedikit sumbangan.

  “Sumbangan nasi ayam keluaran Ayamas Kuantan bukan kali pertama diberikan kepada anggota polis di daerah ini, malah ia merupakan sumbangan kali ketiga dilakukan.

  “Sebelum ini kita agihkan kepada anggota polis yang sedang bertugas di beberapa sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini, dengan harapan mereka lebih ceria dan gembira,” katanya.

  Beliau berkata, sebagai tanda prihatin, pihaknya sebelum ini banyak menyumbang nasi ayam keluaran Ayamas Kuantan ke beberapa rumah anak yatim dan maahad tahfiz di daerah ini dan setiap kali bulan Ramadan diadakan majlis berbuka puasa.

  Syahida berkata, pihaknya ingin berkongsi rezeki yang dianugerahkan Allah kepada pihaknya dengan cara diberikan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kedudukan.

  “Selepas ini lebih banyak sumbangan makanan akan diberikan kepada mereka yang memerlukan terutama petugas di barisan hadapan,” katanya.