Sungai Bukit Rangin lubuk udang galah

Sungai Bukit Rangin lubuk udang galah

KUANTAN: Program pelepasan 100,000 benih udang galah di Sungai Bukit Rangin, di sini, mampu menjadikan pemangkin kepada pelancongan di daerah ini.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata turut mendapat manfaat ialah nelayan sungai tempatan dan luar yang setiap hari ke sungai untuk mencari rezeki.

Menurutnya, Sungai Bukit Rangin sejak dahulu lagi terkenal dengan udang galah dan pelbagai spesies ikan seperti baung, belida, tapah, ketutu dan lampam sungai.

“Faktor itu juga menarik ramai kaki pancing dan membuka rezeki kepada penduduk setempat mengusahakan rumah rakit dan perkhidmatan sewa bot memancing.

“Saya berharap usaha Jabatan Perikanan Negeri Pahang menambah stok ikan dan udang di Sungai Bukit Rangin dapat memberi keuntungan kepada semua pihak dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelepasan 100,000 Benih Udang Galah di Sungai Bukit Rangin, semalam. Turut sama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar. – MOHD IMRAN IZZAD