KUANTAN: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah memulihkan kira-kira seribu kilometer (km) denai tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam menerusi program Denai Kebangsaan di seluruh negara, sepanjang dua tahun lalu.
Ketua Setiausahanya, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, kementerian meletakkan sasaran pembinaan taman awam di sepanjang kira-kira 10,000km denai di seluruh negara menjelang 2030.
“Bagi tujuan pemulihan kita sudah pun membelanjakan hampir RM10 juta setiap tahun bagi tujuan menjadikan kawasan tepi sungai sebagai kawasan rekreasi dan taman awam,” katanya pada program ‘mari kita kudah’ di Sungai Galing, di sini, hari ini.
Zaini berkata, Sungai Galing dipilih sebagai denai tepi sungai kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri dan tapak terwujudnya Bandaraya Kuantan.
Katanya, disebabkan itu denai tepi Sungai Galing itu perlu dipulihkan agar menjadi satu kawasan rekreasi dan tarikan kepada penduduk tempatan dan juga luar.
“Kita hendak memastikan Sungai Galing ini berubah di segi kualiti air dan masyarakat setempat khususnya buat mereka yang berada di pinggir sungai.
“Hari ini, kita sudah membersihkan kawasan Sungai Galing dan banyak sampah sarap dikutip. Kita harap selepas ini tiada lagi pencemaran di sungai ini.
“Kewujudan denai di tepi sungai berkenaan akan menggalakkan aktiviti seperti berjoging, berkelah, memancing dan berbasikal dalam kalangan komuniti setempat,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD