Sungai Lembing bakal berubah wajah

Sungai Lembing bakal berubah wajah

KUANTAN: Kilang, lombong bijih timah dan panggung wayang PCCL di Sungai Lembing, di sini, akan dibangunkan semula.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata pembangunan semula itu dirancang kerana Sungai Lembing menyimpan banyak sejarah.

Selain itu, katanya, Sungai Lembing juga mempunyai tempat menarik untuk aktiviti pelancongan.

“InsyaAllah, saya akan pastikan segala apa yang saya usahakan akan berjalan dengan baik. Ini kerana masyarakat Sungai Lembing sangat dekat di hati saya,” katanya menerusi hantaran Facebook, semalam.

Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan I mengharapkan apa yang dirancang akan membantu memacu ekonomi Sungai Lembing seterusnya memanfaatkan masyarakat keseluruhannya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN