Sungai Lembing unik, sentiasa gamit pelancong

Sungai Lembing unik, sentiasa gamit pelancong

KUANTAN: Sungai Lembing mempunyai produk pelancongan alam semula jadi yang mampu menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, selain sungai, jeram dan Air Terjun Pelangi terdapat Bukit Panorama serta hutan semulajadi.

Menurutnya, peninggalan sejarah aktiviti perlombongan Sungai Lembing yang terdalam di dunia menjadi pelengkap kepada produk pelancongan di Sungai Lembing.

“Pelancong dalam dan luar negara datang ke Sungai Lembing hampir setiap minggu. Suasana pekan Sungai Lembing dengan bangunan dan rumah lama menambahkan keunikannya.

“Pengkaji sejarah berkunjung ke Muzium Sungai Lembing dan Muzium Pelombongan Bawah Tanah bagi melihat sendiri kesan sejarah sumber perut bumi Sungai Lembing yang begitu terkenal suatu ketika dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengiringi KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menanam pokok Meranti Temak Nipis yang disediakan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di Sunrise Hill sempena Paya Besar Dialogue 2022 ‘Environmental Sustainability Through Community Resilience’ Sungai, di sini, semalam.

Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin. 

Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, pihaknya akan berusaha untuk terus mengekalkan produk pelancongan yang sedia ada di Sungai Lembing. – MOHD IMRAN IZZAD