KUANTAN: Dua sungai di Pahang, masing-masing di Maran dan Bera merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya setakat 12 tengah hari, hari ini.
Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran merekodkan bacaan 19.23 meter (m) berbanding 19m manakala Sungai Triang pula 34.65m berbanding 34.50m yang ditetapkan bagi paras bahaya.
Selain itu, empat sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Tanum di Jambatan Chegar Perah, Lipis; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran dan Sungai Belat di Sri Damai, di sini.
Sebanyak tujuh sungai pula merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh dan Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh.
Juga, Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran; Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sg. Lepar di Jambatan Gelugor, di sini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN