Suntik hampir RM13 juta untuk koperasi kembali aktif

Suntik hampir RM13 juta untuk koperasi kembali aktif

ERANTUT: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang sudah menyalurkan Bantuan Pembangunan Koperasi dan Pinjaman Tabung Modal SKM bernilai RM12.8 juta kepada koperasi di Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, ketika ini terdapat 1,180 koperasi yang berdaftar dengan hampir 300,000 ahli.

Katanya, purata perolehan koperasi menunjukkan sedikit penurunan kesan pandemik COVID-19 terutamanya bagi koperasi yang menjalankan aktiviti perkhidmatan dan pelancongan.

“Justeru, SKM melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu koperasi terkesan seperti penangguhan bayaran balik pembiayaan tabung modal yang mencecah RM99 juta.

“Selain itu, pinjaman tanpa cagaran sehingga RM100,000 juga disediakan menerusi Pinjaman Tabung Modal tanpa perlu membayar semula dalam enam. Peruntukan RM15 juta untuk tabung ini,” katanya.

Selain itu, katanya, pemberian bantuan kecemasan kepada koperasi yang terjejas teruk turut disediakan dengan peruntukkan kira-kira RM1 juta.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, kerajaan negeri amat komited membantu pembangunan koperasi di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM1 juta kepada koperasi Pahang, termasuk RM300,000 untuk tujuan promosi manakala RM700,000 bagi pembangunan. – MUHAMMAD NAJMIE