KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan sekurang-kurangnya RM67 juta bagi melaksanakan projek menambah baik perkhidmatan bekalan air di lapan kawasan di Jerantut.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, enam projek jaringan bekalan air baharu di Kampung Temin, Kampung Bukit Rang, Kampung Selimbar, Kampung Batu Balai, Kampung Berchang dan Kampung Kuala Damak, Paya Teh sudah pun siap.
Sehingga ini, katanya, baki dua projek lagi masih dalam peringkat reka bentuk iaitu di Loji Rawatan Air Batu Balai dan Kampung Tanah Pindah yang membabitkan 425 akaun pengguna.
“InsyaAllah selepas ini saya akan mengadakan mesyuarat berfokus bersama PAIP untuk membincangkan projek bagi mengatasi masalah bekalan air di daerah Rompin pula,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Justeru, Wan Rosdy berharap semoga perancangan dan strategi yang diputuskan itu dapat memberi kesan positif kepada rakyat khususnya berkaitan usaha menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN