Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Penderitaan seorang suri rumah yang kini terlantar akibat masalah tulang belakang mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan sumbangan kerusi roda dan katil khas kepada wanita itu, semalam.
Fauziah Abdul Raki, 39, dari Kampung Kubang Ikan, dekat Cherating, di sini, disahkan mengalami masalah tulang belakang lurus atau tidak normal sejak April lalu.
Katanya, dia mengalami masalah tulang belakang secara tiba-tiba dan tidak pasti punca sebenar namun dimaklumkan doktor, penyakit itu berkemungkinan berpunca daripada mengangkat benda berat.
“Saya mula rasa sakit sejak pertengahan Ramadan lalu apabila mengalami kesukaran berdiri selepas bangun tidur dan keadaan itu berlarutan malah semakin teruk selepas saya mengambil pelbagai jenis ubat.
“Akhirnya saya buat pemeriksaan kesihatan di Hospital Kemaman dan doktor mengatakan saya mengalami keadaan tulang belakang lurus dan tidak normal,” katanya.
Ibu kepada dua anak berusia tiga dan lapan tahun itu berkata, sejak kejadian itu, dia terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selain bantuan suami bagi menguruskan diri.
“Doktor kata saya masih ada peluang sembuh dengan menjalani rawatan fisioterapi seperti disarankan,” katanya.
Menurut Fauziah, keluarganya kini hanya bergantung dengan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Lestari selepas suaminya, Ahmad Nazeri Sofian, 38, tidak berkerja sejak lebih lima bulan lalu.
“Suami sebelum ini bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Kemaman namun syarikatnya menghadapi masalah dan terpaksa memberikan cuti tanpa gaji berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Amal Membantu Insan Raub dan Lipis, Pahang (Amal Team), Shahrollail Basri, berkata pihaknya tampil memberikan bantuan katil khas dan kerusi roda selain sumbangan barangan keperluan dan wang tunai.
“Bantuan ini bukan sahaja untuk memudahkan pesakit malah dapat meringankan beban keluarganya kerana tidak perlu menyewa kemudahan berkenaan.
“Katil ini diberikan percuma dan pesakit boleh menggunakannya selama mana yang diperlukan dan jika tidak lagi digunakan, ia akan diberikan kepada orang lain pula yang memerlukannya.
“Setakat ini kami mempunyai 185 katil khas ini yang digunakan golongan asnaf memerlukan. Sejak 2016 hingga kini, seramaiĀ lebih 250 golongan asnaf seluruh negeri ini sudah mendapat manfaat daripada bantuan katil dan kerusi roda,” katanya.