‘Swab test’ di jeti sebelum naik feri ke Tioman

‘Swab test’ di jeti sebelum naik feri ke Tioman

Oleh HUSIN IBRAHIM

fikrahpahang@gmail.com

ROMPIN: ‘Swab test’ akan diwajibkan kepada setiap pelancong yang hendak bercuti ke Pulau Tioman sebelum menaiki feri. Pegawai Daerah Rompin, Ahmad Nasim Mohd Sidek, berkata pelaksanaan proses itu akan bermula dengan feri pertama pada Selasa, 28 September ini.

Ahmad Nasim yang mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan pasca gelembung pelancongan untuk Pulau Tioman, di jeti Teluk Gading, berkata tujuan pelaksanaan penuh SOP gelembung pelancongan itu amat penting. “Memanglah SOP seperti setiap penumpang feri perlu membuktikan bahawa mereka sudah pun menerima suntikan vaksin lengkap. “Namun, apa salahnya kita uji dahulu sebelum gelembung pelancongan itu betul betul bermula,” kata Ahmad Nasim selepas mesyuarat penyelarasan itu.

Turut hadir Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamarudin Ibrahim, wakil agensi dan jabatan terbabit, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahangi, Jabatan Kesihatan, Lembaga Pembangunan Tioman, Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, dan Jabatan Laut. Sementara itu, Kamarudin berkata pelaksanaan SOP seperti itu sudah dilaksanakan di Pulau Langkawi, yang dibuka kepada pelancong, sejak 16 September lalu.

“Kita pun akan juga melaksanakan pendekatan sedemikian. ‘Swab test’ sebelum menaiki feri penting agar kita tidak kembali menutup Tioman jika berlaku penularan Covid-19. “Jeti penumpang di Langkawi hanya ada di Kuah. Tapi, di Tioman ada empat jeti iaitu di Kampung Tekek, Kampung Genting, Kampung Paya dan Kampung Salang. Semua ini memerlukan pemantauan pematuhan SOP yang ketat,” katanya.