Syabas anak Lepeh!

Syabas anak Lepeh!

KUANTAN: Kejayaan Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), B Janusha yang muncul sebagai pegawai wanita pertama menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA), mendapat perhatian YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy menerusi hantaran Facebook hari ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak kelahiran Lipis itu di atas kejayaan berkenaan.

“Kejayaan ini cukup membanggakan kerana USNA adalah sebuah akademi tentera terbaik dan berprestij di dunia.

“Kejayaan Janusha membuktikan kehebatan anggota tentera wanita dari Pahang khususnya dan Malaysia amnya yang cekal, gigih dan berjiwa kental mengejar cita-cita serta berjuang demi tanah air tercinta,” katanya yang berharap Janusha terus maju dan sukses dalam kerjaya.

Lebih bermakna, majlis tamat pengajian yang penuh gemilang disempurnakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama duta serta penasihat pertahanan pelbagai negara.

Janusha, 23, menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di akademi berkenaan selama empat tahun bermula 2018 bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar negara ‘Uncle Sam’ itu.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN