Syabas, MBK terima Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih ASEAN 

Syabas, MBK terima Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih ASEAN 

Headlines: Syabas, MBK terima Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih ASEAN

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) menerima Anugerah Standard Bandar Pelancong Bersih ASEAN, kelmarin.

Datuk Bandar, Dato’ Hamdan Hussin, berkata anugerah itu membuka peluang bagi MBK untuk memasarkan bandar raya Kuantan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, Kuantan juga antara bandar di negara ini yang akan disenaraikan dalam jadual Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), agen pelancongan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Anugerah ini bukannya pencapaian yang mudah untuk diraih dan kami bersyukur memperolehnya hasil usaha untuk memastikan bandar raya Kuantan bersih dan lestari.

“Dengan anugerah ini, pemasaran Kuantan semakin luas sekali gus menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara memilih bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan mereka apabila berada di Malaysia,” katanya.

Selain Kuantan, bandar lain yang turut menerima anugerah itu ialah Putrajaya, Kuching Selatan, Miri, Kuala Terengganu, Kuching Utara, Sibu, Georgetown, Muar dan Langkawi. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN