MAJLIS Sukan Pahang (MSP) berbangga dengan pencapaian tiga pemain hoki Pahang yang terpilih mewakili skuad Projek Khas Wanita untuk ke Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia Wanita 2021 Donghae, Korea Selatan, 5-12 Disember ini.
Trio berkenaan adalah Nuraini Abdul Rashid yang beraksi di bahagian tengah, Siti Zulaikha Hussain (serangan) dan Nurul Fatin Fatiah Azman (pertahanan).
Pengarahnya, Zamri Hassan berkata, pihaknya mengharapkan ketiga-tiganya dapat beraksi pada tahap terbaik membantu skuad negara meraih kejayaan.
“MSP turut mendoakan agar seluruh pasukan hoki wanita kebangsaan akan dipermudahkan segala urusan dan berjaya melakar kejayaan di kejohanan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain menerusi hantaran di Facebook mengucapkan syabas dan tahniah kepada tiga pemain hoki Pahang. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN