Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kejayaan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dan Unit Penguatkuasa, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Timur menumpaskan kegiatan perlombongan haram bijih besi di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Ibam, Selasa lalu mendapat perhatian dan pujian YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang sentiasa komited membanteras kegiatan haram seperti itu.
“Tahniah saya ucapkan kepada pegawai dan kakitangan PHD Rompin serta Unit Penguatkuasa, JPNP Pahang Timur yang menumpaskan kegiatan perlombongan haram bijih besi di Hutan Simpanan Kekal Ibam, Selasa lalu.
“Kerajaan negeri tegas dan komited dalam membanteras aktiviti haram demi kelestarian hutan negeri dan alam sekitar,” katanya.