Syed Ibrahim lebih senang jumpa orang kampung, tanya khabar

Syed Ibrahim lebih senang jumpa orang kampung, tanya khabar

TEMERLOH: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berpendapat bahawa bertemu rakyat adalah peluang yang sentiasa dinantikannya. 

“Sebagai wakil rakyat, saya sudah biasa bertemu orang kampung dalam banyak program dan cuba menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

“Saya teruskan aktiviti sama sepanjang 14 hari akan datang. Bertemu penduduk kampung, beramah mesra, bertanya khabar dan luangkan sedikit masa bermain bola sepak dengan anak-anak penduduk.

“Apabila kita bertemu, sedikit-sebanyak mereka luahkan masalah setempat kalau ada. Berbual santai mampu rapatkan ukhuwah, tidak perlu formal dan ikut protokol,” katanya ketika hadir merasmikan perlawanan bola sepak di Kampung Pulau Pasir Mandi, Kerdau.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, pemilihannya sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah satu amanat dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah serta dedikasi bagi memastikan nasib rakyat terbela.

“Gerak kerja perlu dilakukan lebih cepat, cekap dan agresif dalam memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN) seterusnya diberi mandat untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil terutama di segi ekonomi dan politik,” katanya. – NUR HANNAH KHADIJAH