Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
NADA kecewa Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh semakin nyaring biarpun tetap bersyukur tidak pulang tangan kosong apabila barisannya seri 2-2, di Stadium Likas, malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu, berkata lebih perit apabila tuan rumah, Sabah FC, menyamakan kedudukan seminit sebelum perlawanan tamat.
Katanya, kealpaan di minit akhir perlawanan tidak sepatutnya berlaku kerana tiga mata sudah berada dalam tangan Sri Pahang FC.
“Mereka sepatutnya sudah tahu bahawa sebaik mendahului, pasukan perlu kekal bertahan tetapi sedikit kecuaian menyebabkan misi tiga mata tidak kesampaian. Syukur kami masih dapat bawa balik satu mata,” katanya.
Pada perlawanan itu, dua gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan Muhamad Baqiuddin Shamsudin dan Abdul Malik Mat Ariff minit ke-66 dan m-90.
Dua gol Sabah dijaringkan penyerang import mereka, Josip Ivancic pada minit ke-57 dan masa kecederaan.