Syukur dapat ikut jejak abang ke Al-Azhar

Syukur dapat ikut jejak abang ke Al-Azhar

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

PEKAN: “Alhamdulillah, tercapai juga impian saya untuk mengikut jejak abang melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar (Mesir),” kata Amirul Hakim Hisham, 21.

Menurutnya yang akan tinggal dan belajar bersama abangnya Abd Al Hakeim, 22, di ‘Rumah Pahang’ di Mesir, peluang berkenaan sudah lama dinantikannya selepas sekian lama berjauhan.

PEKAN…Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kanan) menyampaikan replika cek kepada Amirul Hakim Hisham pada majlis penyampaian replika cek RM127,360 bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar kepada 31 pelajar oleh MUIP di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar.

“Abang saya sekarang berada di tahun dua dan belajar jurusan bahasa Arab. Saya bersyukur impian melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar sama seperti abang menjadi kenyataan. 

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa pulang segulung ijazah sebagai bukti kejayaan,” katanya yang sebelum ini belajar di Institut Al-Quran Terengganu.

PEKAN…Amirul Hakim Hisham dan 
Husna Naduwa Isha Asmawi menerima sumbangan beg dan baju daripada MUIP pada majlis penyampaian replika cek RM127,360 bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar kepada 31 pelajar oleh MUIP di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar.

Amirul Hakim adalah antara 31 lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)  berasal dari Pahang yang akan berlepas ke Mesir pada 22 Ogos ini bagi melanjutkan pengajian di Universiti Al Azhar bagi meneruskan pengajian di peringkat ijazah.

Dia ditemui pada majlis penyampaian replika cek RM127,360 bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar kepada 31 pelajar oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, di sini, semalam.

Penyampaian replika cek dilakukan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman sambil disaksikan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifli Ali.

Seorang lagi pelajar, Husna Naduwa Isha Asmawi, 20, berkata dia bersyukur berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di peringkat ijazah dalam bidang bahasa Arab.

PEKAN…
Amirul Hakim Hisham dan 
Husna Naduwa Isha Asmawi bersyukur menerima bantuan MUIP  pada majlis penyampaian replika cek RM127,360 bantuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar kepada 31 pelajar oleh MUIP di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar.

“Kerja keras selama ini berakhir dengan kejayaan melangkah ke menara gading dan saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk membawa pulang segulung ijazah sebagai bukti kepada keluarga, guru dan rakan-rakan yang banyak menyokong selama ini,” kata bekas pelajar Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar itu.

Sementara itu, Asmadi berkata bantuan disediakan MUIP itu bagi urusan bayaran tiket penerbangan, visa, suntikan vaksin dan wang saku sebanyak RM1,200 untuk setiap pelajar.