Syukur, Mok De Jerah dah ada rumah sendiri

Syukur, Mok De Jerah dah ada rumah sendiri

TEMERLOH: Seorang nenek tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan kesyukurannya apabila hajat untuk memiliki kediaman sendiri sejak sekian lama, termakbul menerusi pemberian Rumah Rakyat Pahang (RRP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Asmah Hassan, 78, yang tinggal bersama anak dan cucu perempuannya di Kampung Gunung Senyum, Kerdau, di sini, terpilih menjadi seorang daripada dua penerima RRP bagi DUN berkenaan bagi tahun ini. 

Penyerahan kunci disempurnakan Ahli DUN (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam satu majlis ringkas di kediaman baharu Asmah atau lebih mesra disapa Mok De Jerah, hari ini.

Syed Ibrahim berkata, beliau dan seluruh penduduk kampung berkenaan turut berasa gembira dengan pemberian RRP kepada keluarga berkenaan yang sememangnya amat memerlukan rumah sendiri untuk berteduh.

“Tak terkata apa Mok De Jerah bersama anak dan cucu perempuannya (kerana) terlalu gembira menerima RRP iaitu cetusan idea daripada YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail. Mana tidaknya, dah sekian lama Mok De Jeraj mengimpikan untuk memiliki rumah sendiri.  

“Saya juga bersama Tok Penghulu SHamsul, Tok empat Cikgu Azeman Mohamed, Ketua Cawangan (UMNO) saudara Mohd Nazeri Ghazalli dan penduduk kampung berasa bersyukur kehadrat Ilahi, usaha kami selama ini menjadi kenyataan dengan izin Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Syed Ibrahim turut berterima kasih kepada Asmah yang menyediakan makan tengah hari dengan pelbagai lauk pauk kampung yang enak bagi meraikan dirinya dan tetamu lain.

“Terima kasih jugalah Mok De selaku tuan rumah yang menyediakan makan tengah hari gulai patin masak darat, goreng sayur paku masak taucu, kuah lemak pucuk ubi dan gulai kari ayam. Basuh mulut pula dengan bubur kacang. Alhamdulillah, semua ini berlangsung di rumah RRP Mok De juga,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN