JERANTUT: Empat ribu murid dan pelajar di daerah ini menerima bantuan biasiswa daripada Yayasan Pahang berjumlah RM1.3 juta, tahun ini.
Peruntukan itu membabitkan murid sekolah rendah yang menerima biasiswa RM300 setahun manakala pelajar sekolah menengah pula menerima RM600 setahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, biasiswa bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa.
“Saya harap murid dan pelajar dapat memanfaatkan biasiswa yang diterima dan digunakan sebaik mungkin.
“Murid dan pelajar harus berusaha bersungguh-sungguh dan belajarlah sehingga ke menara gading. Kemudian kembali ke negeri ini untuk berkhidmat kepada rakyat Pahang, ” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP), Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) Yayasan Pahang bagi Kawasan Dewan Negeri Tahan, di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini. – MUHAMMAD NAJMIE