LIPIS: “Semalaman saya tak tidur kerana teruja menunggu surat tawaran (Skim Taah Warisan),” kata penorah getah, Norrosdi Idris, 61, dari Kuala Jelai, dekat sini.
Norrosdi antara 250 peserta terpilih untuk menyertai projek perintis program Skim Tanah Warisan (STW) di Kuala Medang di sini.

“Ini kali pertama saya dapat tanah lot dan berasa terlalu gembira sampaikan ingin melompat bila dapat tahu nama saya tersenarai antara penerima.
“Alhamdulillah, pagi tadi surat dinantikan, tiba juga,” katanya yang mempunyai seorang anak perempuan yang kini menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Bagi ibu tunggal, Rosafiqah Rozilan, 30, dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang memperkenalkan program itu.

“Apa lagi nak dikata… Tok Wan memang betul-betul insan hebat yang dah buktikan keikhlasannya membantu rakyat.
“Alhamdulillah, saya antara yang mendapat manfaat atas jasanya,” kata ibu kepada dua anak lelaki berusia lima dan tujuh tahun itu. – HELMY ABD RAHMAN