Izzah Yusoff
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: “Alhamdulillah, dengan bantuan ini dapatlah menampung bekalan makanan saya sekeluarga,” luah Mokhtar Ngah, 65, dari Kampung Sungai Karang Pantai, dekat sini, semalam.
Warga emas itu antara penerima barangan keperluan asas sumbangan UMNO Bahagian Indera Mahkota.
Mokhtar yang juga pesara kerajaan berkata, keluarganya memang memerlukan bantuan berkenaan selepas terbeban dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada UMNO dan tidak lupa Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) kesayangan kita yang tidak jemu mengagihkan pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang, semalam.
Bagi Nordin Husin, 62 yang menetap di KRT Balok Maju, dia amat bersyukur dan terharu menerima sumbangan itu.
“Sumbangan ini tepat pada masanya kerana saya dan keluarga sekarang terjejas pendapatan disebabkan PKP 3.0,” katanya.
Sebanyak 20 beg sumbangan yang berisi barangan keperluan asas disampaikan di Perkarangan Teratak Indera Kasih, Balok.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid berkata, sumbangan itu diserahkan kepada wakil cawangan UMNO di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan terutama yang terjejas pendapatan sepanjang PKP 3.0.