KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyenarai pendek 60 usahawan yang terjejas banjir untuk menerima bantuan tabung bencana kendalian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).
Ketua Pengarah FAMA, Dato’ Zainal Abidin Yang Razalli berkata, usahawan pasar tani dan agro bazar yang peralatan dan barangan mereka rosak akan menerima bantuan itu.
Menurutnya, selepas selesai laporan kerosakan diperoleh, pihaknya akan memohon bantuan tabung bencana Mafi.
“Bantuan untuk usahawan Fama yang disediakan Mafi bukan ganti rugi sebaliknya bantuan bagi meringankan beban mereka selepas barangan dan peralatan mereka rosak.
“Antara peralatan yang akan disediakan seperti meja, kerusi, rak meletak barangan dan payung. Saya menjangkakan jumlah usahawan yang terjejas kerana banjir akan bertambah berikutan gelombang kedua banjir ketika ini,” katanya selepas mengadakan lawatan pasca banjir di daerah ini, hari ini. Turut sama Pengarah FAMA Pahang, Saiful Sadri. – MOHD IMRAN IZZAD