Taburan hujan lebat dalam tempoh tiga jam antara faktor banjir kilat di Janda Baik

Taburan hujan lebat dalam tempoh tiga jam antara faktor banjir kilat di Janda Baik

KUANTAN: Hujan lebat di kawasan hulu sehingga mengakibatkan limpahan air sungai berhampiran antara faktor utama banjir kilat melanda Janda Baik, Bentong, semalam.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata faktor lain pula lanjutan daripada keadaan sungai yang cetek disebabkan banjir besar pada  17 Disember 2021.

Katanya, cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan bahawa taburan hujan di kawasan itu ialah sebanyak 19.5 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam.

“Kadar hujan 19.5 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam ini dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10 mm,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Wan Rosdy berkata, susulan kejadian banjir kilat itu, beliau mengarahkan beberapa tindakan dilaksanakan dengan segera bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.

Sebagai langkah awal, katanya, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain antaranya selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh kerajaan negeri diagihkan kepada mangsa terbabit.

“Saya telah minta pek makanan dan bantuan ini ditambah dari semasa ke semasa dengan segera manakala bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya dari Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin,” katanya.

Tambahnya, ketika ini, kerajaan negeri dan agensi berkaitan sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya berharap agar semua mangsa yang terbabit tabah mendepani ujian ini. Insya-Allah, kerajaan negeri akan membantu semua yang terkesan dengan sehabis baik.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga mereka yang terlibat dikurniakan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN