TEMERLOH: Pembukaan Tadika Tahfiz Pahang cawangan Kerdau, di sini, diyakini mampu membantu membentuk keperibadian cemerlang dalam kalangan kanak-kanak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata dua belas kanak-kanak berumur di antara empat dan enam tahun diterima masuk di tadika itu.
Katanya, kemudahan yang disediakan di tadika itu juga selesa dan selamat.
“Anak-anak terjaga, terdidik minda dengan al-Quran, keselamatan dan rehat juga diutamakan di samping makan, minum dan tempat tidur.
“Harapan tinggi kita ialah tahfiz yang teratur ini akan memiliki rekod kejayaan yang diiktiraf hasilnya dengan kualiti murid yang hebat sehingga mampu ke peringkat tahfiz sekolah rendah, menengah dan lebih tinggi, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Tadika Tahfiz menawarkan tiga pakej iaitu 8 pagi hingga 12 tengah hari, 8 pagi hingga 3 petang dan 8 pagi hingga 6 petang dengan yuran yang berpatutan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN