Tagih aksi lebih padu Sri Pahang

Tagih aksi lebih padu Sri Pahang

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

SRI Pahang FC perlu tampil lebih padu dan mantap pada enam baki saingan Liga Super untuk mengelak daripada berada di zon penyingkiran.

Berada di kedudukan kesembilan liga ketika ini, ia belum lagi selamat dan prestasi terbaik perlu dipersembahkan anak buah Dollah Salleh itu.

Ia diakui Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Dato’ Mohammed Suffian Awang yang mahu Sri Pahang meningkatkan kualiti permainan.

“Dengan baki enam perlawanan, Sri Pahang perlu mengutip seberapa banyak mata untuk melonjakkan kedudukan dalam saingan liga.

KUANTAN. Kapten Sri Pahang FC, Muslim Ahmad cuba menghalang pemain PJ City FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

“Berada di kedudukan kesembilan ketika tiga pasukan lain berusaha untuk memperbaiki kedudukan, pemain tidak boleh keciciran mata dan perlu tampil dengan aksi lebih kemas.

“Saya percaya dengan kemenangan 1-0 ke atas PJ City FC kelmarin, mampu meningkatkan motivasi pemain selepas seri pada dua perlawanan sebelum itu,” katanya di Kuantan, hari ini.

Selepas 16 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan sembilan dengan 17 mata dan hanya satu mata dibezakan dengan Melaka United yang berada di tempat ke-10.