Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Prestasi mantap dan bertenaga Abdul Malik Mat Ariff ditagih Sri Pahang FC untuk berdepan Sabah FC di Stadium Likas, malam esok.
Ketua jurulatih, Dollah Salleh berkata, pemain tengah itu akan menjadi taruhan terbaik dalam memberi ancaman kepada barisan pertahanan tuan rumah.
Selain itu, katanya, Manuel Hidalgo yang semakin serasi bergandingan dengan Abdul Malik menjadi sandaran pasukan Tok Gajah.
“Gandingan Malik dan Hidalgo diharap dapat memberi tekanan kepada jentera pertahanan lawan. Oleh itu saya harap dua pemain ini terutama Abdul Malik dapat mengekalkan prestasi terbaiknya seperti aksi ketika menentang Melaka United, kelmarin.
“Pada masa sama, jentera serangan diharapkan tampil lebih garang untuk merobek gawang tuan rumah, sekali gus membantu pasukan mengutip tiga mata,” katanya.
Ditanya peluang melakar kemenangan ke atas Sabah, Dollah percaya peluang itu tetap ada biarpun sebelum ini hanya seri 1-1 dengan Melaka United.
“Mahu atau tidak tiga mata menjadi misi utama pasukan untuk menambah mata sekali gus dapat memperbaiki kedudukan lebih baik,” katanya.
Selepas 14 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kesembilan Liga Super.