Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Kumpulan pertama pelajar tingkatan empat dan lima yang disenaraikan pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja Pahang teruja menerima suntikan vaksin.
Ini kerana mereka berasa lebih selamat selepas menjalani proses vaksinasi ketika kes penularan wabak COVID-19 mencatatkan kes yang tinggi di negara ini.
Nik Nur Wardiah Qurratu’aini Nik Li, 17, berkata dia gembira apabila kerajaan mengumumkan pemberian vaksin kepada pelajar.
“Sebaik menerima suntikan ini, saya berasa lebih selamat untuk berada di luar terutama sebaik sesi persekolahan dibuka nanti.
“Kami juga akan mengikuti pembelajaran secara bersemuka berbanding PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) ketika ini,” kata pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin.
Bagi Muhammad Mikael Mohd Azraie, 17 dari SMK Bukit Rangin, dia sememangnya menantikan pemberian suntikan vaksin kepada pelajar.
“Saya bersyukur kerana secara peribadi suntikan vaksin ini banyak membantu terutama melindungi daripada jangkitan wabak,” katanya.
Nik Nur Wardiah Qurratu’aini dan Muhammad Mikael ditemui selepas YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail meninjau PICK Remaja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SMK Bukit Rangin, di sini, semalam.
Lebih 400 pelajar tingkatan empat dan lima dari SMK Bukit Rangin dan SMK Sungai Isap Murni menerima suntikan vaksin.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata beliau berpuas hati dengan proses pemberian vaksin yang berjalan lancar membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima.
“Saya sempat bertemu dengan pelajar, mereka nampak ceria dan gembira, tidak ada rasa bimbang dan mereka menyahut seruan kerajaan.
“Saya ucap syabas dan tahniah kepada pelajar dan ibu bapa mereka yang membenarkan anak mereka divaksinasi,” katanya.