Tahniah Janusha

Tahniah Janusha

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan tahniah kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), B Janusha, yang menjadi pegawai wanita pertama menamatkan Pengajian dan Latihan Ketenteraan di United States Naval Academy (USNA).

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan Janusha, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara, hari ini, baginda berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang itu menjadi suntikan semangat kepada Janusha dan juga warga TLDM.

Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada PKK Janusha dan mendoakan semoga dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Janusha, 23, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu mencipta sejarah apabila menjadi wanita Malaysia pertama diterima masuk ke akademi tentera berprestij itu.

Janusha mula menjalani pengajian dan latihan ketenteraan di USNA pada 2018 selama empat tahun bersama 1,085 pelatih dari Amerika Syarikat dan 14 pelatih dari luar Amerika Syarikat.

Kejayaan Janusha menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di pusat latihan tentera terbaik di dunia itu membuktikan kewibawaan dan kemampuan wanita muda Malaysia untuk bersaing di dalam bidang yang lebih dipelopori lelaki.

Lebih bermakna, Majlis Tamat Pengajian yang penuh gemilang disempurnakan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan turut dihadiri barisan kepimpinan tertinggi Tentera Laut Amerika bersama duta serta penasihat pertahanan pelbagai negara. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN