KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang merakamkan ucapan tahniah di atas kemenangan BN Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Pahang, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata terima kasih kepada seluruh rakyat Melaka yang memberi mandat dan kepercayaan kepada BN dalam #PRNMelaka.
“Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pimpinan, calon dan jentera pilihan raya yang bertungkus lumus siang dan malam demi memenangi hati rakyat untuk memilih BN.
“Kita melihat kemenangan ini sebagai satu tanda bahawa rakyat Malaysia, khususnya rakyat Melaka mahukan kestabilan politik supaya pimpinan kerajaan yang bakal dibentuk akan membawa kemajuan dan pembangunan yang jitu di Melaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Wan Rosdy berkata, mandat yang diberikan itu merupakan tanggungjawab yang amat besar bagi pemimpin untuk terus memulihkan Melaka pasca #Covid19.
“Saya percaya kemenangan ini adalah pencetus kepada kemakmuran yang akan dinikmati oleh seluruh rakyat Melaka. Semoga negeri Melaka terus maju dan cemerlang di bawah pentadbiran BN,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN