KUANTAN: Kerajaan Pahang menunaikan janji memberikan saguhati bernilai RM200 kepada bayi yang lahir tahun ini.
Ini terbukti apabila YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook, melawat wanita yang baru melahirkan cahaya mata lelaki, hari ini.
“Seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan Pahang 2022, Kerajaan Pahang bersetuju untuk memberikan saguhati kepada bayi yang lahir di Pahang pada 2022.
“Pemberian bernilai RM200 untuk setiap kelahiran diberikan dalam dua bentuk iaitu RM100 untuk simpanan bank dan RM100 lagi dalam bentuk barangan penjagaan bayi dan ibu sepanjang berpantang.
“Tahniah saya ucapkan kepada Siti Hajar Mohamad Taib dan suaminya yang dikurniakan cahaya mata lelaki pada hari ini (1 Januari 2022). Semoga anak ini memembanggakan negeri Pahang Darul Makmur, amin,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2022 Pahang Disember lalu, Wan Rosdy mengumumkan peruntukan kira-kira RM5 juta daripada kerajaan negeri bagi menjayakan Program Anak Kebanggaan Pahang mulai 2022. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN