KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili Kerajaan Pahang mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua penjawat awam di negeri ini.
Beliau berkata, ucapan itu kerana semua penjawat awam di Pahang berjaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Ketika kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang bukan sahaja menguji kita sebagai penjawat awam tetapi juga sebagai manusia. Dalam era pandemik dan banjir.
“Alhamdulillah kita berjaya melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk rakyat Pahang.
“Sesungguhnya yang bulat tidaklah datang bergolek, yang pipih tidaklah datang melayang dan kejayaan ini adalah berkat kerjasama dan keseragaman tindakan serta usaha giat kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Program Perhimpunan Penjawat Awam Pahang di Dewan Bandaraya, Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan, hari ini.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN