KUANTAN: Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) mengucapkan tahniah atas pelantikan semula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai YAB Menteri Besar Pahang.
Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Mohd Izzat Afifi Abd Hamid yakin Wan Rosdy akan meneruskan kecemerlangan yang telah dilakarkannya sejak 2018.
Beliau juga berharap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bakal dilantik kelak terdiri daripada mereka yang berkemampuan dan berkebolehan.
Selain itu, katanya, ADUN yang muda seharusnya diberi peluang untuk menduduki jawatan berkenaan supaya suara anak muda turut menjadi sebahagian daripada pembuat dasar di negeri ini.
Beliau juga meminta semua parti politik menghormati titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibn Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah, supaya memberikan fokus kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, MBNP menyeru semua pihak kembali membulatkan tekad dan azam dalam membangunkan negeri dan negara ini.
“Waktu berpolitik sudah tamat, kini tiba waktunya untuk berkhidmat,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini. – NUR HANNAH KHADIJAH