Tak anggu dah lepas ni kita yek

Tak anggu dah lepas ni kita yek

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

LIPIS: Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelai di sini bukan sahaja bakal menikmati keupayaan digital lebih baik, malah berpotensi menjana ekonomi keluarga masing-masing seiring dengan pengumuman Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menaik taraf kemudahan bagi liputan komunikasi di kawasan itu, hari ini. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengumuman berkaitan pembinaan 27 menara telekomunikasi baharu, menaik taraf 39 menara sedia ada dan menyediakan 46 jalur lebar tanpa wayar khas untuk kawasan Jelai amat dialu-alukan penduduk setempat. 

“Alhamdulilah, dengan kerjasama KKMM dan Kerajaan Pahang, penduduk di Jelai bakal menerima penaiktarafan dalam sistem perhubungan digital. 

“Perkara ini satu berita amat baik, kerana ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi keupayaan digital rakyat di negeri ini, tetapi juga berupaya menjana pertumbuhan ekonomi di kawasan ini. 

“Saya percaya, dengan keupayaan Internet lebih meluas, ia akan memberikan kelebihan bagi anak-anak Jelai untuk mendapatkan maklumat dan informasi terkini dengan lebih pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian di laman Facebook rasminya, malam ini.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Internet Komuniti sedia ada di kawasan berkenaan dijenamakan semula sebagai Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia yang akan meneruskan operasi dengan lebih berkesan dan mantap untuk penduduk tempatan. 

“Terima kasih diucapkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana sudi bekerjasama dengan kerajaan negeri berkaitan penyediaan fasiliti bagi memastikan perkhidmatan digital lebih berkualiti dapat dirasai penduduk Jelai,” katanya.