KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang menggesa penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan dalam usaha melindungi hidupan liar terutama harimau di negara ini.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, undang-undang yang digubal tidak bermakna jika tidak dapat mengekang sindiket pemburu haram antarabangsa.
“Kita memerlukan agensi kerajaan yang tegas dalam melindungi hidupan liar dan habitatnya. Harimau Malaya disenaraikan dalam kategori sangat terancam mengikut Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
“Disebabkan pemburuan haram dan kemusnahan habitat, dianggarkan hanya ada sekurang-kurangnya 150 harimau Malaya di negara kita dan bilangannya semakin merosot setiap tahun,” titah baginda menerusi kenyataan media, hari ini.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah demikian sempena Hari Harimau Sedunia yang disambut pada 29 Julai setiap tahun.
Titahnya, sambutan Hari Harimau Sedunia itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai spesies harimau yang semakin diancam kepupusan.
“Sambutan Hari Harimau Sedunia ini bermula pada 2010, apabila 13 negara yang mempunyai populasi harimau berkeliaran telah bergabung untuk meningkatkan populasi harimau termasuk Malaysia.
“Tahun ini, Nepal, India, Bhutan, China dan Rusia telah dilaporkan begitu giat dalam usaha pemuliharaan populasi harimau.
“Melalui usaha pemuliharaan yang berkesan dan kerjasama yang cekap antara semua pihak termasuk agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan, negara-negara ini telah berjaya meningkatkan populasi harimau mereka.
“Namun, , populasi harimau di Asia Tenggara masih mengalami kemerosotan. Harimau Malaya melambangkan kekuatan, kekuasaan dan keberanian serta merupakan simbol kemegahan negara kita seperti yang dapat dilihat pada Jata Negara,” titahnya.
Sempena Sambutan Harimau Sedunia tahun ini, baginda berkongsi aspirasi yang sama dengan semua rakyat Malaysia yang ingin melihat populasi Harimau Malaya semakin bertambah.
“Sekiranya kita dapat bekerjasama untuk memastikan kesinambungan populasi Harimau Malaya ini, populasi harimau bukan sahaja akan bertambah, malah kita sebenarnya juga berjaya melindungi hutan yang banyak menyimpan khazanah biodiversiti dan fungsi ekosistem yang penting, lebih-lebih lagi di Pahang.
“Justeru, saya menyeru semua pihak agar terus komited dan bersungguh sungguh untuk menyelamatkan spesies kebanggaan negara ini.
“Jika kita dapat berbuat demikian, insya-Allah, pada Hari Harimau Sedunia tahun hadapan, kita akan memiliki sebab yang kukuh untuk meraikan hari ini dengan lebih meriah,” titahnya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN