Tak hirau gajah liar pujuk anak Orang Asli bersekolah

Tak hirau gajah liar pujuk anak Orang Asli bersekolah

JERANTUT: Pelancaran Sekolah Hutan Bateq (Bateq Jungle School) dengan slogan ‘Sekulah Bateq’ (Sekolah Bateq) di perkampungan Orang Asli Kuala Atok berhampiran Taman Negara hari ini, membawa pengalaman baharu bagi anak masyarakat Orang Asli Bateq di situ. 

Seramai 30 murid dan pelajar pelbagai tahap umur menjadi perintis untuk menimba pelajaran di sekolah yang dibina di kampung berkenaan.

Usaha murni itu dilakukan sukarelawan daripada persatuan Bird Group Taman Negara (BGTN) yang sudah beberapa kali turun padang memujuk kanak-kanak suku Orang Asli berkenaan untuk bersekolah.

Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim, berkata usaha dimulakan sejak dua tahun lalu untuk memujuk komuniti itu yang terpinggir daripada masyarakat setempat untuk membolehkan anak anak mereka bersekolah. 

“Walaupun pergerakan kami terhad untuk berhubung dengan mereka antaranya disebabkan COVID-19,  banjir dan ancaman gajah liar, tetapi tidak pernah mematahkan semangat kami. 

“Kejayaan ini satu sejarah kerana masyarakat Orang Asli Bateq di Kuala Atok sangat pemalu dan sukar berhubung dengan orang luar,” katanya. 

Beliau berkata, inisiatif BGTN itu turut dibantu Persatuan Eko Pelancongan dan Konservasi Malaysia (ECOMY) dan  Rhythm Foundation yang menyalurkan pelbagai bantuan bagi projek berkenaan dengan membina bangunan tempat belajar serta peralatan pembelajaran. 

“Kami juga mendapat kerjasama daripada JAKOA (Jabatan Kemajuan Orang Asli) yang menyediakan pengangkutan bot untuk tenaga pengajar dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut memberi kebenaran kepada guru untuk mengajar di situ,” katanya. 

Sementara itu, Batin Kuala Atok, Batin Tenggalan sangat mengharapkan anak buahnya dapat belajar bersungguh-sungguh dan menjadi insan berpendidikan, sekali gus mampu membina kehidupan lebih baik pada masa akan depan. – MUHAMMAD NAJMIE