Helmy Abd Rahman
KUALA LUMPUR: Pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak perlu dipertikaikan lagi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Memetik laporan Berita Harian Online hari ini, beliau dilaporkan berkata, ini kerana, pelantikan itu dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan.
“Perkara ini (usul undi percaya) tidak sesuai dilakukan kerana Perdana Menteri baru saja mengambil alih jawatan itu,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, hari ini. Pada 18 Ogos lalu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar Perdana Menteri yang baharu dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata tiada keperluan mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang. Idrus sebelum ini dilaporkan berkata, ini berikutan tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sudah diputuskan Seri Paduka sendiri. Mengulas lanjut,
Wan Junaidi berkata, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri yang memiliki sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen. “Ahli Parlimen juga sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan dan dalam masa singkat, saya tidak melihat mereka akan mengubah pendirian. “Perkara ini mungkin boleh berlaku jika ada yang berubah fikiran selepas tempoh masa enam atau tujuh bulan,” katanya.