Tak senang duduk dibuatnya, kata Dollah

Tak senang duduk dibuatnya, kata Dollah

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh mengakui berdebar pada penghujung perlawanan ketika skuadnya menang 1-0, ke atas PJ City FC, di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kebiasaannya pada minit akhir perlawanan beliau masih boleh duduk untuk menyaksikan perlawanan itu.

Bagaimanapun, katanya, situasinya agak berbeza kerana bimbang pasukan pelawat dapat menjaringkan gol penyamaan seperti dua perlawanan sebelum ini yang berkesudahan seri.

“Saya akui tidak senang duduk apabila lawan melakukan serangan pada minit akhir kerana bimbang kesilapan sama berulang seperti dua perlawanan lalu.

“Namun, saya bersyukur kerana Sri Pahang mencatat kemenangan dan rezeki milik pasukan pada perlawanan ini (malam tadi),” katanya.

Pada perlawanan itu, gol tunggal penyerang import, Aung Kaung Man pada minit ke-15 membantu mengutip tiga mata.

Selepas 16 perlawanan, skuad Tok Gajah menduduki kedudukan kesembilan liga dengan 17 mata.