Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
Gambar Mohd Imran Izzad
BENTONG: Tindakan pantas Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Barat berjaya menyekat cubaan membuka lebih luas lagi kawasan Hutan Simpan Lentang Tambahan, di sini untuk dijadikan kebun durian Musang King.
Serbuan anggota Unit Penguat kuasa jabatan berkenaan kelmarin turut menemui jengkaut berwarna oren dalam Kompatmen 93 yang digunakan untuk membersihkan kawasan hutan simpan terbabit termasuk tanah milik kerajaan yang terletak bersebelahan.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Nor Azirim Ahmad, berkata individu dipercayai diupah pekebun haram itu membersihkan hutan simpan berkenaan seluas kira-kira 1.5 hektar sebelum kegiatan itu dikesan pihaknya.
Menurutnya, pemantauan menggunakan dron dilakukan mendapati tanah milik kerajaan yang terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Lentang Tambahan turut diceroboh seluas kira-kira 30 hektar, dipercayai untuk dijadikan kebun durian Musang King.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, kerja-kerja membersihkan kawasan hutan simpan berkenaan sedang dilakukan, namun usaha menahan pemandu jengkaut terbabit gagal apabila dia sempat melarikan diri.
“Kita tak tolak kemungkinan kegiatan menceroboh Hutan Simpan Lentang Tambahan termasuk tanah milik kerajaan didalangi beberapa individu dan mereka bertindak mengupah pihak kedua untuk melakukan kerja membersihkan dan membina teres tanaman.
“Kejayaan mengesan kegiatan berkenaan diperingkat awal dapat mengelak kemusnahan hutan simpan serta tanah milik kerajaan dengan lebih luas lagi,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Katanya, JPNP bertindak menyita jengkaut terbabit dan kini disimpan di pusat simpanan barangan rampasan di Pejabat Ladang Hutan Kemasuk, Mentakab sebelum tindakan seterusnya dilakukan.
“Kta tak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan aktiviti menceroboh hutan simpan di negeri ini kerana perbuatan berkenaan merupakan kesalahan besar yang menyebabkan kemusnahan hutan secara tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang bulan ini sahaja, Unit Penguat kuasa JPNP Pahang Timur dan Barat berjaya menyelesaikan lima kes membabitkan kegiatan menceroboh hutan simpan untuk aktiviti perlombongan, memindahkan hasil hutan dan pertanian.
“Kita akan mempergiatkan lagi aktiviti rondaan dan serbuan di seluruh negeri terutama membabitkan beberapa kawasan hutan simpan yang sering menjadi tumpuan penjenayah hutan bagi mengelak kerugian kerajaan negeri,” katanya.