Tak sesak dah lepas ni

Tak sesak dah lepas ni

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

BENTONG: Projek lebuh raya Central Spine Road (CSR) sepanjang 306 kilometer (km) yang menghubungkan daerah ini dan Kota Bharu, Kelantan akan siap sepenuhnya pada 2026.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata meskipun sebelum ini terdapat kelewatan membabitkan kerja pembinaan disebabkan penularan pandemik Covid-19 dan beberapa masalah lain, projek lebuh raya empat lorong dan dua hala itu tidak berdepan peningkatan kos.

“Sebelum ini terdapat kelewatan, namun kerja-kerja pembinaan setakat ini mengikut jadual. Kelewatan bukan sahaja disebabkan Covid-19 tetapi masalah lain termasuk membabitkan kemudahan awam.   

“Sebahagian besar kerja-kerja pembinaan jalan (di negara ini) termasuk CSR, kini kembali rancak dan akan beroperasi pada skala penuh tidak lama lagi. Bagi projek ini kita jangkakan akan siap sepenuhnya pada 2026.

“Tiada penambahan kos disebebkan kelewatan dan semua dana bagi projek CSR sudah diluluskan dan diagihkan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Seksyen 5C dan 5D antara Bentong Bypass dan Lebu di bulatan Mempaga di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail secara bersama merasmikan laluan sepanjang 28.5km itu yang menelan kos hampir RM632 juta dan siap April lalu.

Ia sekali gus menjadikan jajaran CSR yang dibuka kepada orang ramai setakat ini adalah sepanjang 89.25km.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, mengikut kajian, projek berkenaan dapat memendekkan jarak perjalanan dan menjimatkan perjalanan daripada 45 minit kepada 20 minit yang bukan sahaja menjadi laluan alternatif, malah dapat mengurangkan kesesakan trafik di bandar Bentong terutama ketika waktu puncak, musim perayaan dan cuti sekolah.

Projek CSR adalah pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 306.8 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur dengan kos keseluruhan sebanyak RM7.3 bilion.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, pembukaan laluan berkenaan memberikan impak besar terutama kepada penduduk setempat yang dapat menjimatkan tempoh perjalanan serta mengelakkan kesesakan di bandar Bentong.

“Ini dapat menjimatkan masa dan kos bahan api serta mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT08 sedia ada, terutamanya ketika waktu puncak dan musim perayaan.

“Ia juga dapat merancakkan ekonomi dengan mudahnya akses ke lokasi-lokasi pelancongan khususnya di kawasan Pahang barat,” katanya.