Tak usah berlagak ‘hero’

Tak usah berlagak ‘hero’

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

TEMERLOH: Tak perlu berlagak ‘hero’. Itu reaksi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, Kamache Doray Rajoo.

Ia berikutan tindakan Kamache yang mendakwa kononnya keputusan Kerajaan Pahang untuk menanggung kos pengurusan mayat mangsa COVID-19 bukan Islam dilakukan selepas beliau membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, baru-baru ini.

Difahamkan, Kamache berkata demikian dalam siaran berita bahasa Tamil di sebuah stesen TV berbayar, baru-baru ini.  

Syed Ibrahim berkata, peruntukan pengurusan kematian mangsa COVID-19 diputuskan kerajaan negeri dan diumumkan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail 12 Ogos lalu, iaitu sebelum sidang DUN berlangsung.

“Pada mesyuarat MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) Pahang 4 Ogos lalu, YB Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang) membawa perkara ini untuk diperhalusi.

“Penerimaan kertas cadangan MMK dan tabung ini dikendalikan oleh saya sendiri dan diurusetiakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan seterusnya YAB Menteri Besar mengumumkan mengenai bantuan kerajaan negeri untuk menanggung kos pengurusan kematian mangsa COVID-19 rakyat Pahang tanpa mengira bangsa dan agama pada 12 Ogos lalu.

“Cuma bezanya, tuntutan bagi kos pengurusan jenazah untuk orang Islam perlu dibuat di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) manakala bukan Islam pula di Pejabat Daerah.

“Kerajaan negeri bersetuju menanggung kos pengurusan kematian dengan jumlah maksimum RM2,000… tetapi tidak timbul isu kononnya untuk orang Islam sahaja, kita bantu tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.

Menurutnya, pada sidang DUN baru-baru ini, Kamache ada bertanya sama ada kerajaan negeri memberi bantuan kepada mangsa yang meninggal dunia akibat COVID-19. 

“Saya diamanahkan untuk menjawab dan memaklumkan mengenai perkara ini. Sidang DUN baru lagi sedang peruntukan ini dimaklumkan sebelum itu.

“Tak mustahak siapa jadi ‘hero’ bantu mangsa COVID-19 yang meninggal dunia, yang penting dalam hal ini, rakyat Pahang dibantu dan dipermudahkan kerajaan negeri,” katanya.