JERANTUT: Tidak lama lagi, urusan menyelamat penduduk sekitar di Mukim Pedah dan pelancong di Taman Negara Kuala Tahan pada musim banjir akan menjadi lebih mudah.
Ini kerana kerajaan bercadang menaikkan aras Jalan Paya Garuk berikutan jalan itu sering ditutup setiap kali banjir sekali gus menyebabkan penduduk di kawasan sekitar terputus hubungan.
Difahamkan, jalan itu menjadi penghubung kepada 26 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) membabitkan 4,200 penduduk.
Jalan itu yang juga laluan utama ke Ulu Tembeling dan laluan pelancongan terkenal, Taman Negara Kuala Tahan, sering dinaiki air sehingga lebih dua meter tinggi ketika banjir, menyebabkan laluan berkenaan ditutup.
Bagi meninjau permasalahan membabitkan laluan berkenaan, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup, melakukan lawatan kerja untuk melihat sendiri keadaan jalan berkenaan, hari ini.
Turut mengiringi, Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Nazlan Idris; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman; Pengarah JKR Pahang Dato’ Ir Hafizah Zakaria dan Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.
Menerusi laporan Berita Harian Online baru-baru ini, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dipetik berkata, terdapat perancangan untuk projek naik taraf Jalan Paya Garuk yang sering dinaiki air sehingga lebih dua meter tinggi ketika banjir.
“Projek menaikkan aras jalan sepanjang satu kilometer ini sedang dalam perancangan membabitkan kos sebanyak RM14 juta,” katanya. – ZULKEPLI OSMAN