Taman Negeri Rompin pikat pengunjung tempatan

Taman Negeri Rompin pikat pengunjung tempatan

Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Seramai 14,860 pelancong tempatan berkunjung ke Taman Negeri Rompin dalam tempoh dua bulan selepas dibuka sepenuhnya September lalu.
Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Regina Mariah Jong berkata, walaupun negara masih lagi diancam wabak Covid-19 namun aktiviti pelancongan di negeri ini masih lagi aktif walaupun tidak serancak sebelum ini.
Menurutnya, selama sebulan pra pembukaan Taman Negeri Rompin pada September lalu, lebih 11,000 pelancong tempatan datang untuk melihat pelbagai tarikan baharu yang terdapat di situ selain turut berpeluang menikmati keindahan hutan semulajadi, sungai dan air terjun.


Katanya, jumlah pelancong dijangka akan bertambah secara berperingkat terutama apabila wabak Covid-19 semakin berkurangan, keinginan rakyat untuk melancong bagi mengurangkan tekenan kini semakin memuncak.
“Kerajaan negeri melantik Endau Rompin Park Resort Sdn Bhd sebagai operator untuk menguruskan Taman Negeri Rompin selama 30 tahun, sebelum ini ia dikenali sebagai Taman Negeri Endau-Rompin. Pengalaman luas syarikat terbabit dalam sektor pelancongan diharap dapat meletakan Taman Negeri Rompin dilandasan sebenar sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Taman Negeri Rompin terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau-Rompin dengan keluasan 31,797 hektar, peruntukan RM15 juta disediakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menaik taraf tempat berkenaan dengan pelbagai kemudahan dan produk tarikan pelancong yang baharu,” katanya.
Beliau berkata, pelancong yang berkunjung ke Taman Negeri Rompin pasti berpuas hati apabila berpeluang melalui jambatan gantung sepanjang 800 meter, menaiki menara pandang setinggi 15 meter sambil melihat pemandangan hutan serta sungai dan jeram berbatu yang terdapat di situ
Regina Mariah berkata, Air Terjun Seri Mahkota pasti menjanjikan keseronokan kepada pengunjung yang dapat mengadakan aktiviti mandi sambil berkelah bersama rakan.Pemandan di situ begitu menarik dengan udara yang segar dan nyaman.
“Pusat infomasi yang disediakan turut memberi peluang kepada pelancong mengetuai pelbagai maklumat berkaitan hutan, tumbuhan, serangga, binatang dan rama-rama.Bilik media dan beberapa permainan moden turut disediakan untuk kanak-kanak.
“Replika air terjun serta binatang seperti gajah, tapir dan harimau belang memberi suasana seolah berada dalam hutan sebenar,” katanya yang berharap pelancong tidak melepaskan peluang berkunjung ke Taman Negeri Rompin.
Katanya, untuk berkunjung ke Taman Negeri Rompin pelancong dikenakan bayaran iaitu RM10 hingga RM30 seorang, bagi pelancong antarabangsa RM30 hingga RM50.Pelajar yang datang secara berkumpulan seramai 30 orang dikenakan bayaran RM100 (tempatan) dan RM200 (antarabangsa).