Taman Teknologi Hijau bakal buka peluang kerja kosong

Taman Teknologi Hijau bakal buka peluang kerja kosong

PEKAN: Penduduk setempat termasuk Orang Asli bakal mendapat manfaat daripada pembukaan tiga kilang baharu di Taman Teknologi Hijau, dekat Paloh Hinai, di sini, bermula tahun depan. 

Ini berikutan pelabur utama Taman Teknologi Hijau,  Nextgreen Global Berhad (NGGB) menambah pelaburan RM162 juta bagi membuka kilang tisu, makanan haiwan dan baja di atas tanah 1,214 hektar. 

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan kilang itu membabitkan tiga fasa, sudah pun bermula dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku kedua tahun depan. 

“Kilang baja yang kini dalam pembinaan akan dijangka siap penghujung tahun ini. Dua lagi kilang dijangka siap pada pertengahan tahun depan. 

“Kerajaan negeri turut meluluskan tanah 1,214 hektar berbanding 165 hektar sebelumnya untuk pembangunan syarikat terbabit sebagai sokongan kerajaan negeri kepada pelabur di negeri ini. 

“Melalui pelaburan ini, kerajaan negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Kilang Fasa 1B Taman Teknologi Hijau (GTP) Pekan dan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara NGGB serta Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). 

Turut hadir Pengarah NGGB, Dato’ Mohd Yusof Din dan Pengerusi NAFAS, Dato’ Zamri Yaakob. 

Wan Rosdy berkata, syarikat terbabit sudah memberi peluang pekerjaan kepada 250 penduduk tempatan dan diharapkan lebih ramai masyarakat Orang Asli akan diambil bekerja apabila tiga kilang baharu siap kelak. – FATH AHNAF