Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
RAUB: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) meneruskan program penghijauan dengan menanam 2,300 pokok hutan pelbagai spesies di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini, kelmarin.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Dato’ Samsu Anuar Nawi, berkata program menanam pokok itu disertai lebih 200 individu terdiri sukarelawan daripada 23 badan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, setiap NGO dibahagikan kepada kawasan menanam masing-masing, dibekalkan alat untuk menggali lubang.
“Sehingga ini, kami sudah menanam lebih 20,000 pokok hutan dan pokok nadir di kawasan HSK Batu Talam bagi menggantikan kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditebang pada Operasi Pamah, Julai lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Kempen Penanaman 5 Juta Pokok @ Pahang di HSK Batu Talam, di sini, kelmarin.
Hadir sama Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, Shahril Mohamad dan Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat JPNP, Wan Ghazali Wan Ali.
Bagi Aziatul Umi Syakila Subaini, 27, pengalaman menanam pokok hutan sesuatu yang menarik kerana ini kali dia menyertai program seumpama itu.
“Selepas enam bulan kami akan datang semula ke HSK Batu Talam bagi melihat keadaan pokok yang ditanam. Sekiranya pokok mati, ia perlu ditanam semula,” katanya.